Spesifikasi bekalan elektrik
Menurut Piawaian MS IEC 60038, sistem bekalan elektrik bagi pengguna domestik di Malaysia menggunakan bekalan elektrik satu fasa AC 230 V(RMS, julat +10%, -6%) 50 Hz; ataupun tiga fasa AC 400 V (RMS, julat +10%, -6%).
Sistem pendawaian
Pendawaian elektrik boleh dilakukan sama ada secara terdedah ataupun tersembunyi. Pendawaian secara tersembunyi lazimnya dilakukan semasa pembinaan bangunan dengan membuat alur untuk dawai elektrik pada dinding bangunan. Namun demikian, kelemahan utama kaedah ini ialah pengguna mungkin menghadapi risiko kejutan elektrik sekiranya pengguna memaku atau memasang skru pada dinding, misalnya untuk memasang rak buku ataupun penyangkut baju. Dahulunya, kabel elektrik yang digunakan disalut dengan penebat getah, tetapi kemudiannya digantikan dengan PVC kerana penebat getah tidak tahan lama serta mudah rapuh dan haus mengikut masa.
Di Malaysia, kabel yang ditetapkan bagi tujuan pendawaian adalah berpenebat PVC serta berpengalir kuprumatau aluminium tetapi bagi kabel dengan luas keratan rentas pengalir kurang daripada 16 mm², hanya pengalir kuprum sahaja yang dibenarkan.
Pemasangan mata suis dan soket
Kesemua suis dan soket yang digunakan dalam sistem pendawaian di Malaysia direka bentuk untuk dimuatkan pada kotak pemasangan piawai berbentuk segiempat sama, bersaiz 86 mm x 86 mm, seperti yang tertakluk pada piawaian BS 4662. Terdapat juga kotak pemasangan berkembar bersaiz 143 mm x 86 mm bagi menempatkan dua petak suis atau soket piawai.
Mata soket yang digunakan direkabentuk untuk digunakan oleh plag piawai 13 ampere Jenis G (BS 1363) serta dilengkapi dengan suis. Terdapat juga peralatan elektrik yang menggunakan plag 2 pin 2.5 ampere (Jenis C; juga dikenali sebagai "Europlug") yang boleh dipalamkan ke soket BS 1363 menggunakan penyuai khas. Bagi peralatan berarus lebih tinggi seperti pendingin udara, biasanya soket 15 ampere Jenis M (BS 546) digunakan.
Pembumian
Pendawaian elektrik mestilah dibumikan bagi menyediakan perlindungan kepada pengguna daripada bahaya renjatan elektrik akibat kebocoran arus elektrik ke bumi dengan menyediakan laluan berintangan rendah ke bumi. Komponen utama pendawaian (yang tidak membawa arus, seperti pembuluh logam), rangka bumbung yang diperbuat daripada logam serta peralatan elektrik (terutamanya yang menggunakan motor elektrik serta unsur pemanas) adalah antara komponen yang wajib dibumikan.